Penilik Piala Dunia

Translated into Malay (Original version)


Adakah anda ingat Paul, Sotong Penilik? Ia merupakan bintang Piala Dunia 2010, berupaya meneka pemenang setiap perlawanan pasukan Jerman. Ia juga telah meneka juara perlawanan akhir. Kerjayanya bermula dengan Euro 2008, dan menyaksikan ia terus berjaya meramal 11 daripada 13 perlawanan dengan tepat. Ia biasa memilih antara dua kotak yang berisi makanan serta bendera kebangsaan setiap pasukan yang terlibat dalam setiap perlawanan. Walau bagaimanapun, ia telah mati pada penghujung tahun 2010.

Paul tidak bersendirian. Harry, seekor Buaya turut berjaya meneka juara Piala Dunia 2010. Tambahan pula, ia telah beupaya meramal dua keputusan Pilihan Raya Persekutuan Australia secara berturut. Walau bagaimanapun, ia tidak setanding dengan tarikan Sotong Penilik dari Jerman itu. Begitu juga dengan Mani, burung nuri dari Singapura yang gagal meneka pemenang dalam perlawanan akhir di antara Sepanyol dan Belanda walaupun ia berjaya meneka semua perlawanan suku dan separuh akhir Piala Dunia 2010.

Semenjak kematian Paul yang tidak dijangkakan itu, wujud persaingan sengit bagi mendapatkan takhtanya. Semasa Euro 2012, terdapat tiga ekor haiwan yang terlibat dalam permainan ini iaitu: Citta, seekor gajah dari India yang berada di sebuah zoo di Krakow, Poland. Fred, seekor musang dari Ukraine yang boleh diikuti di Twitter. Manakala Funtik, khinzir tukang ramal dari Ukraine yang berjaya meramal 2 daripada 3 perlawanan dengan tepat.

Siapakah yang akan mengambil tempat Paul Sotong Penilik pada Piala Dunia akan datang? Mungkinkah burung nuri yang direstui Paus Francis di Dataran Saint Peter, kini bergelar bintang penyiar awam kebangsaan Itali? Atau mungkinkah Nelly, seekor gajah dari Jerman yang sehingga kini telah berjaya meramal 30 daripada 33 perlawanan dengan tepat? Jangan sesekali memandang rendah pada kuasa psikik anak Panda yang disokong oleh media tempatan China.

Burung nuri dari Itali yang bernama Amore (cinta dalam bahasa Itali) akan memberikan ramalannya dengan memilih bendera pasukan pemenang di sebuah padang bola sepak bersaiz kecil. Nelly lebih suka meramal pemenang dengan menendang bola ke dalam salah satu jaring dengan bendera negara bertanding yang diletakkan di hadapan mereka. Sebaliknya, anak panda akan meneka keputusan perlawanan dengan memilih makanan daripada kotak yang ditandakan dengan bendera semasa perlawanan peringkat kumpulan berlangsung dan dengan memanjat pokok sambil mengibarkan bendera pada pusingan kalah mati.

Adakah anda mempunyai haiwan peliharaan?
Adakah ia berupaya meramal dengan lebih baik? Bagaimana?
Biarkan mereka mencuba!

by Noor Azlan Bin Ahmad

11 Votes
#327 of #1440 in the World
#3 of #6 for Malay


Noor Azlan Bin Ahmad's website

Go to the ranking page for Malay

Can you translate better?

Join the challenge