Ramalan Piala Dunia

Translated into Malay (Original version)


Masih ingat lagi akan Paul, Si Sotong Peramal? Sotong yang menjadi bintang semasa Piala Dunia 2010 kerana berjaya meneka pemenang perlawanan Jerman. Paul juga berjaya meneka juara perlawanan akhir. Kerjaya Paul bermula semasa Euro 2008 dan ia berjaya meramal dengan tepat 11 ​​daripada 13 perlawanan. Paul biasanya meramal dengan memilih antara dua kotak yang mengandungi makanan dengan bendera kebangsaan setiap pasukan yang terlibat dalam setiap perlawanan. Malangnya, Paul meninggal dunia pada akhir tahun 2010.

Paul tidak bersendirian. Malahan, Sang Buaya bergelar Harry juga berjaya meneka juara Piala Dunia 2010. Selain itu, Harry juga telah dapat meramalkan keputusan dua Pilihan Raya Persekutuan Australia, secara berturut-turut. Namun begitu, daya tarikan Harry tidaklah sehebat sotong kurita dari Jerman tersebut. Begitu juga dengan Mani, seekor burung Nuri dari Singapura yang meneka semua perlawanan suku akhir dan separuh akhir Piala Dunia 2010, namun gagal meneka siapa yang akan berjaya antara Sepanyol dengan Belanda semasa perlawanan akhir.

Sejak 'pemergian' Paul yang terlalu awal, terdapat persaingan hebat mengenai siapa yang bakal mewarisi takhtanya. Semasa Euro 2012, terdapat tiga ekor haiwan yang berentap dalam persaingan ini: Citta, seekor Gajah dari India yang tinggal di sebuah zoo di Krakow, Poland. Fred, seekor Feret dari Ukraine yang boleh diikuti di Twitter. Dan Funtik, khinzir tukang ramal dari Ukraine yang berjaya meramalkan dengan tepat 2 daripada 3 perlawanan.

Siapakah yang bakal mengambil tempat Paul, Si Sotong Peramal untuk Piala Dunia akan datang? Mungkinkah ianya Sang Burung Nuri yang diberkati Paus Francis di Dataran Saint Peter, kini bertaraf bintang penyiar awam kebangsaan Itali? Atau mungkinkah ianya Nelly, Sang Gajah dari Jerman yang sehingga kini, berjaya meramal dengan tepat 30 daripada 33 keputusan perlawanan? Dan sudah tentu, jangan juga dipandang rendah akan kuasa psikik Sang Panda Kecil yang disokong oleh media kerajaan China.

Burung Nuri dari Itali bernama Amore (bermakna cinta dalam bahasa Itali) akan memberikan ramalannya dengan memilih bendera pasukan yang menang di sebuah padang bola sepak mini. Sedangkan Nelly pula suka meramalkan pemenang dengan menendang bola ke dalam salah satu daripada dua jaring dengan bendera negara yang bertanding diletakkan di hadapannya. Sebaliknya, Sang Panda Kecil akan meneka keputusan perlawanan dengan memilih makanan dari kotak yang ditandakan dengan bendera semasa perlawanan kumpulan dan dengan memanjat pokok lalu melayangkan bendera pada pusingan kalah mati.

Adakah anda mempunyai haiwan peliharaan?
Mampukah ianya meramal dengan lebih baik lagi? Bagaimana?
Biarkannya mencuba!

by Geetha Thuraisamy

2 Votes
#643 of #1440 in the World
#5 of #6 for Malay


Geetha Thuraisamy's website

Go to the ranking page for Malay

Can you translate better?

Join the challenge